KENAPA PROJEK PRIMA KARAK SETIA DILULUSKAN DI KAWASAN TERDEDAH KEPADA BANJIR? 1…

KENAPA PROJEK PRIMA KARAK SETIA DILULUSKAN DI KAWASAN TERDEDAH KEPADA BANJIR?

1. Jawapan diterima daripada
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 17 Mac 2022 berkenaan mengapa projek perumahan prima Karak boleh diluluskan di kawasan terdedah kepada banjir, pampasan kepada mangsa banjir dan langkah pencegahan.

2. Projek PR1MA Pahang Karak Setia adalah bawah Kerajaan Negeri Pahang manakala projek Perumahan Karak Makmur Setia Idaman adalah bawah KPKT.

3. Menteri KPKT menjawab projek Perumahan Karak Makmur Setia Idaman memenuhi syarat serta mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi-agensi teknikal berkenaan.

4. Untuk makluman, projek perumahan ini terletak di kawasan rendah. Tidak perlu pakar pun tahu kawasan seperti ini terdedah kepada risiko banjir.

5. Persoalan saya ialah mengapa pihak berkuasa berkaitan yang meluluskan projek ini tidak tahu?

6. Persoalan kedua ialah adakah bantuan daripada pihak kerajaan setakat beberapa ribu ringgit sahaja?

7. Penduduk telah melaburkan wang yang banyak untuk beli rumah di sini. Ramai baru sahaja berpindah ke rumah mereka sebelum banjir besar pada 18 Disember tahun lalu. Mereka dilanda banjir lagi tepat tiga bulan kemudian. Dan ia tidak akan menjadi yang terakhir. Kekerapan banjir dijangka meningkat disebabkan kesan gabungan perubahan iklim dan pendekatan yang tidak mampan terhadap pembukaan tanah di Bentong sejak sedekad yang lalu. Ini sudah pasti akan menyebabkan penderitaan jangka panjang bagi penduduk.

8. Projek yang sepatutnya membina impian rakyat sebaliknya telah melukakan hati mereka.

9. Kerajaan seharusnya bertanggungjawab ke atas keputusan meletakkan pembangunan perumahan di kawasan banjir. Penyelesaian jangka panjang untuk masalah ini perlu dilaksanakan segera dan pampasan yang lebih setimpal dengan kerugian yang dialami oleh pemilik rumah perlu diberi.

WONG TACK
Ahli Parlimen Bentong



Source