KENAPA PEMBINAAN JALAN PINTAS BOLEH DILULUSKAN DI DALAM HUTAN SIMPAN KEKAL KLAU/RAKA?
1. Saya telah mengemukakan soalan secara lisan kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli di Dewan Rakyat, berkenaan bagaimana satu jalan pintas boleh diluluskan di dalam Hutan Simpan Kekal Klau/Raka, Bentong, Pahang. Jawapan yang diterima pada 3 Mac 2022 ialah :
i) Jalan hutan itu adalah jalan sedia ada semenjak 1970-an;
ii) Permit jalan diberikan untuk menggunakan ‘jalan sedia ada’ ini untuk mengeluarkan saki baki kayu balak dari kawasan hutan Tanah Kerajaan yang bersebelahan; dan
iii) Permit jalan untuk menggunakan ‘jalan sedia ada’ ini diberi bagi mengelakkan pembukaan kawasan hutan lain untuk membina jalan hutan baru.
2. Saya berpendapat jawapan yang diberi adalah mengelirukan dan manipulatif.
i) Jalan yang dikatakan ‘jalan sedia ada’ adalah laluan kecil yang dibina pada tahun 1970-an. Sepanjang lima puluh tahun lalu, pokok hutan telah tumbuh semula dan pulih, dengan kayu bersaiz baik. Namun, kini jalan yang diluluskan telah dijentolak seperti lebuh raya sepanjang kira-kira 7 kilometer.
ii) Pada masa ini, hutan yang sihat sedang ditebang. Semestinya bukan “saki baki kayu balak”.
iii) Ini adalah kenyataan karut. Kawasan hutan Tanah Kerajaan yang dibersihkan/dibalak terletak betul-betul di sebelah kawasan perumahan dengan jalan masuk sedia ada kurang daripada 100 meter dari jalan utama. Tidak ada sebab untuk membenarkan jalan sepanjang 7 kilometer seperti lebuh raya dijentolak melalui cerun curam hutan simpan kekal.
3. Kerajaan negeri Pahang mesti menjelaskan mengapa projek perumahan PR1MA boleh diluluskan di kawasan sensitif alam sekitar bercerun curam? Mengapakah pembersihan kawasan hutan Tanah Kerajaan ini dibenarkan sedangkan kita tahu apa-apa hakisan dan aliran lumpur akan masuk ke perbandaran yang terletak begitu hampir? Rakyat ingin tahu bila kelulusan diberikan, dan tunjukkan kepada kami semua dokumen kelulusan dan beritahu kami setakat mana peringkat projek ini.
WONG TACK