GAJAH PUTIH PELANGAI Turun padang meninjau projek Pusat Latihan Ketenteraman A…

GAJAH PUTIH PELANGAI

Turun padang meninjau projek Pusat Latihan Ketenteraman Awam (PULKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pelangai, Bentong.

Kerja pembinaan projek ini bermula sejak tahun 2009 dengan kos siling asal RM150 juta. Sepatutnya disiapkan pada 2012 tetapi dibiarkan terbengkalai sehingga ke hari ini.

Bagaimana jutaan ringgit boleh dibayar menggunakan wang rakyat tetapi kerja tidak siap? Ini salah satu pembaziran yang jelas dan tidak boleh dipandang enteng!

Pemimpin tempatan dari Pelangai, Pak Atan dan Cikgu Nab, telah menyampaikan suara hati penduduk kepada saya berkenaan isu ini. Warga Pelangai rasa amat kecewa, malu serta putus asa. Pada pendapat mereka, projek ini telah menjadi satu simbol kegagalan – projek Gajah Putih. Ia memberi gambaran kerajaan langsung tidak menitikberatkan tanggungjawab untuk membawa pembangunan ke Pelangai. Ini secara tidak langsung mungkin menggugat keyakinan pelabur-pelabur untuk melabur di Pelangai di masa depan.

Sebenarnya saya telah memaklumkan isu ini kepada mantan Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Dato’ Mohd Azis Jamman secara peribadi serta bertulis pada Oktober tahun lepas. Susulan aduan tersebut, saya difahamkan bahawa Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri telah membuat lawatan turun padang ke PULKA pada 17 Januari tahun ini, iaitu lebih kurang sebulan sebelum kejatuhan kerajaan PH.

Isu ini juga telah saya bangkitkan berulang kali semasa mesyuarat Majlis Jawatankuasa Kerja Tindakan Daerah Bentong.

Saya akan terus bangkitkan isu ini dalam sidang parlimen yang mendatang pada November ini. Harap akan dapat penjelasan yang konkrit dan memuaskan daripada menteri berkenaan.





Source