Ada sekumpulan pekebun di FELDA Mempaga, bergabung bersama-sama dan bernaung bawah Koperasi Mempaga Satu.
Mereka kini sedang mengerjakan sebidang tnaah berkeluasan 100 ekar, kebanyakannya diusahakan dengan tanaman nangka madu.
Sepanjang tahun lepas, saya berkesempatan beberapa kali melawat kebun berkenaan. Saya dapat melihat kejayaan hasil usaha keras yang telah dicurahkan bertahun-tahun oleh pekebun ini.
Bagaimana pun, saya ingin untuk melihat mereka menginjak satu langkah ke hadapan – pertanian lestari. Saya mendorong mereka untuk ke arah pertanian secara organik.
Saya membawa guru penanaman organik saya, Encik Shum untuk bertemu mereka pada awal tahun ini. Encik Shum tidak hanya berkongsi pengetahuannya dari segi teknikal. Beliau telah memberitahu bahawa pertanian bukan sekadar menimba hasil semata-mata, tetapi apa tanggungjawab sebagai petani untuk masyarakat. Kita perlu sedar tanah pertanian ini akan diwarisi oleh generasi yang mendatang kelak. Jangan sekali-kali dalam kelekaan kita untuk memenuhi keperluan generasi masa kini, kita memusnahkan keupayaan generasi mendatang untuk melakukan perkara yang sama bagi memenuhi kelangsungan hidup mereka di masa hadapan. Adalah penting untuk kita bersama-sama memelihara kesuburan tanah yang digunakan dan berbangga dengan penghasilan hasil tanaman yang selamat dan berkhasiat tinggi.
Selepas berlangsungnya dialog antara pekebun dan Encik Shum, pekebun tampak teruja dengan cadangan kami dan mereka mahu mencuba merealisasikannya.
Akibat pandemik yang berlaku, rancangan berkenaan sedikit terbantut. Namun, minggu lepas kami memulakan langkah pertama.
Di satu kawasan kecil kebun berkenaan yang telah dirancang untuk dijadikan plot percubaan, Encik Shum mengajar mereka bagaimana untuk memupuk mikroba.
Dari semangat yang ditunjukkan para peserta semasa latihan berkenaan, saya yakin inisiatif ini akan berlangsung dengan jayanya.
华文 👉 https://www.facebook.com/122457974452808/posts/4270493519649212/?d=n