Penebangan pokok purba yang berasal dari hutan simpan di Terengganu beberapa har…

Penebangan pokok purba yang berasal dari hutan simpan di Terengganu beberapa hari lalu cukup menyakitkan hati seluruh rakyat Malaysia.

Namun jawapan Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu, Roslan Rani yang tampil dengan mendabik dada, mempertahankan tindakan pembalakan dengan alasan perbuatan berkenaan mengikut prosedur dan mempunyai lesen sah lebih menimbulkan kemarahan ramai.

Lebih mengejutkan, kenyataan berkenaan ditambah dengan alasan mengatakan bahawa kawasan asal balak telah diperuntukkan untuk ‘pembangunan’. Apakah ‘pembangunan’ yang dimaksudkan dan mengapa kita membiarkan hutan simpan ini dibangunkan?

Roslan jelas langsung tidak menunjukkan rasa bersalah atas tindakannya yang tidak bertanggungjawab. Bagaimana kita boleh memberi mandat kepada orang seperti ini untuk memegang jawatan penting dalam melindungi warisan semula jadi negara kita?

Roslan harus sedar bahawa beliau bukan Pengarah ‘Jabatan Pembalakan’. Beliau harus memahami bahawa tugasnya bukan untuk ‘mengeksploitasi, mengekstrak dan memusnahkan’. Tugasnya adalah memastikan hutan kita dikendalikan secara lestari dan warisan semula jadi negara ini dilindungi.

Saya juga bingung dengan respon Exco Pembangunan Manusia, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah yang mengatakan bahawa pembatalan lesen pembalakan akan mengakibatkan berlakunya siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Apa logiknya? Mengapa pula penarikan semula dan pembetulan keputusan yang salah akan disiasat oleh SPRM?

Hakikatnya, SPRM harus mengambil langkah tegas sekarang untuk menyiasat bagaimana lesen itu diluluskan. Apa alasan untuk menebang hutan simpan semula jadi purba seperti itu dibenarkan? Bagaimana Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dilakukan?

Menteri Besar Terengganu mesti menghentikan amalan mementingkan diri dan tamak ini dalam seluruh pentadbirannya. Sebagai pemimpin politik tertinggi negerinya, dia seharusnya lebih berwawasan. Adalah penting untuk beliau memahami bahawa tugasnya bukan hanya menjaga rakyat generasi ini tetapi juga generasi mendatang. Jangan ambil semuanya tanpa meninggalkan apa-apa untuk anak-anak kita.

Gambar dari Facebook Khaidir Ahmad.



Source