KOTAK MAKANAN KOMUNITI BENTONG (FOOD BANK) DILANCAR BAGI BANTUAN SEGERA MAKANAN
BENTONG, 5 DISEMBER – Program Kotak Makanan Komuniti Bentong (Food Bank) dilancarkan oleh Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack, di pejabatnya hari ini.
Program ini bertujuan memberi bantuan segera kepada rakyat Bentong yang putus bekalan makanan khususnya makanan asas seperti beras, gula, tepung dan biskut, selain barangan penjagaan diri memandangkan ramai yang terkesan akibat ekonomi yang tidak menentu disebabkan penularan virus Covid-19.
Sejumlah individu dan pertubuhan seperti JC Team dan Persatuan Kebajikan De Ai Bentong telah bersama-sama memberi sumbangan untuk diagihkan, dan mereka yang memerlukan bantuan barangan berkenaan boleh mendapatkannya di rak yang disediakan di luar pejabat berkenaan.
Ini adalah satu inisiatif Pejabat Ahli Parlimen Bentong bagi memastikan tiada pihak yang kelaparan namun hilang punca untuk meminta bantuan.
Orang ramai juga dialu-alukan untuk bersama-sama menyumbang. Anda boleh memasukkan terus bantuan ke dalam kotak yang disediakan.
Bersama-sama kita amalkan budaya tolong-menolong. Ada yang memberi, ada yang menerima.
Ambil Jika Anda Perlu, Beri Semasa Anda Mampu.
Sebarang pertanyaan lanjut mengenai program ini boleh diajukan menerusi talian 09-2211813 atau terus ke Pejabat Ahli Parlimen Bentong, No. 40B, Tingkat Atas, Jalan Chui Yin, 28700 Bentong, Pahang.
Source