Baru-baru ini saya berkesempatan mengadakan jelajah satu hari bersama rakyat di DUN Pelangai, mendekati masyarakat dengan beberapa program yang telah diatur pihak pejabat saya dan Pejabat Penyelaras DUN Pelangai.
Program pertama yang telah dianjurkan ialah majlis penyerahan Baucer Bantuan Pelajar Sekolah 2020 dan beg sekolah bertempat di SJKC Telemong. Seramai 20 pelajar SJKC Telemong dan 20 lagi pelajar SMK Telemong dipilih untuk menerima sumbangan ini.
Setelah itu, rombongan jelajah kami meneruskan satu lagi majlis penyerahan Baucer Bantuan Pelajar Sekolah 2020 dan beg sekolah, kali ini SK Kampung Shafie telah sudi menjadi tuan rumah. Juga 20 pelajar dari setiap sekolah terpilih untuk menerima sumbangan berkenaan termasuk, SK Pelangai, SK Kampung Shafie, SK FELDA Kemasul, SK Simpang Pelangai, SK FELDA Chemomoi, SK FELDA Sungai Kemahal, SMK Seri Pelangai dan SMK FELDA Chemomoi.
Saya juga berkesempatan menziarahi suami kepada Penyelaras DUN Pelangai, Puan Nor Haizan Abu Hassan yang lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Nab iaitu Encik Shamsuri yang telah jatuh sakit sejak September 2019. Encik Shamsuri selama ini banyak berjasa dalam membantu Cikgu Nab berkhidmat untuk rakyat Pelangai, juga membantu pihak saya dalam menjalankan program kemasyarakatan. Saya berharap Encik Shamsuri lekas sembuh dan sihat seperti sedia kala.
Berdekatan dengan rumah Cikgu Nab juga terletak sebuah Balai Bomba Sukarela Simpang Pelangai yang didirikan oleh masyarakat tempatan. Saya melihat bahawa anggota sukarelawan bomba di sini amat komited dalam kerja-kerja bantuan kepada rakyat setempat. Oleh yang demikian, saya juga ingin bersama-sama menggembleng usaha bersama-sama mereka dan dengan rasa sukacita mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 ribu untuk pembelian alatan tambahan kegunaan bomba dan pengubahsuaian dewan terbuka di balai berkenaan. Tahniah saya ucapkan kepada anggota bomba sukarelawan yang banyak berjasa kepada rakyat.
Saya juga berpeluang melawat SK Pelangai di Kampung Jawi Jawi untuk melihat sendiri keperluan sekolah ini yang juga antara sekolah tertua dalam Parlimen Bentong. Saya berpendapat sekolah ini juga perlu diberi perhatian dalam peruntukan 2020 Parlimen Bentong, apatah lagi sekolah ini mempunya kelas Pendidikan Khas serta kelas pra-sekolah.
Seterusnya, saya menuju ke Pejabat FELDA Sungai Kemahal untuk bertemu dengan masyarakat setempat khususnya generasi kedua FELDA. Selain dapat beramah mesra, saya juga berbesar hati dapat menyerahkan sejumlah wang tunai sebagai bantuan kepada mereka yang memerlukan. Saya juga diminta untuk menandatangani plak khas untuk ditempatkan di masjid kawasan berkenaan setelah pihak saya memperuntukkan sejumlah RM50 ribu untuk tujuan penggantian permaidani masjid berkenaan. Saya mengucapkan tahniah kerana masjid ini akhirnya dapat diperindahkan sekali gus memenangi tempat keempat dalam pengkelasan masjid di Negeri Pahang.
Saya juga sempat dibawa untuk melihat kawasan Dewan Orang Ramai di FELDA Sungai Kemahal yang menjadi tumpuan anak muda bersukan dan menghabiskan masa senggang. Adalah amat penting bagi pihak saya mengambil berat dalam kemudahan rekreasi anak muda. Seyogia saya memberi lebih peruntukan dalam bidang belia dan sukan bagi memastikan anak muda menjalani kehidupan yang sihat.
Program jelajah saya diteruskan ke SK FELDA Chemomoi untuk melihat sendiri hasil projek bawah peruntukan pejabat saya berjumlah RM150 ribu, memperbaiki dan menaik taraf sekolah ini agar memberi keselesaan kepada warga sekolah ini. Saya amat gembira melihat perubahan ketara pada sekolah ini yang mana semakin indah dan berkualiti. Pendidikan adalah suatu perkara paling penting dalam melahirkan generasi yang lebih mampan dan terbaik.
Pada ketika ini, malam sudah menjelma tetapi sebelum pulang, saya sempat singgah di Kampung Lembah Jaya bagi melihat keperluan masyarakat kampung berkenaan, terutamanya keperluan dari segi keselamatan kerana tebing di pinggir jalan masuk ke kampung berkenaan berada dalam keadaan tidak berapa selamat. Saya akan membantu semampu mungkin dalam memastikan keselamatan penduduk berada dalam keadaan terjamin.
Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak polis dari Balai Polis Manchis kerana menemani serta mempermudahkan pergerakan rombongan kami sepanjang hari.
#bentong
#jelajahPelangai
#wongtack