KELOMPOK BUAH-BUAHAN MEMPAGA BAKAL JADI DESTINASI AGRO-PELANCONGAN
Jika anda melalui jalan raya menghubungkan Kuala Lumpur – Gua Musang, anda pasti terpandang deretan gerai nangka madu yang diniagakan bermula dari bandar Bentong sehingga FELDA Lurah Bilut, yang mana tidak kurang daripada 20 peniaga kecil menjual buah yang sangat manis dan berbau wangi itu.
Tetapi tidak ramai yang mengetahui sebahagian besar nangka madu berkenaan sebenarnya bukanlah dibawa dari luar daerah ini, tetapi adalah hasil usaha beberapa peneroka FELDA Mempaga yang membina ladang buah-buahan secara berkelompok sejak 2005 lagi.
Saya berkesempatan melawat kelompok buah-buahan Mempaga seluas 97 ekar ini yang bukan sahaja ditanami nangka madu tetapi juga kelapa dan cempedak. Saya sangat yakin kawasan ini bakal menjadi salah satu daripada destinasi utama agro-pelancongan di negara ini.
Berlatarbelakangkan Bukit Raka yang terkenal di Bentong, pengunjung bakal dihidangkan dengan pemandangan bukit bukau yang cantik serta sayup kelihatan air terjun yang menuruni bukit berkenaan. Ladang ini juga mempunyai anak sungai yang mengalirkan air jernih dan bersih.
Projek Kelompok Buah-buahan Mempaga ini telah diiktiraf sebagai ladang MyGAP oleh Jabatan Pertanian Malaysia.
Pejabat saya akan menghubungi Jabatan Pertanian dan pakar-pakar tanaman organik untuk membantu menaiktaraf ladang ini kepada ladang organik.
SYABAS saya ucapkan kepada pengusaha ladang Kelompok Buah-buahan Mempaga di atas kejayaan yang sangat membanggakan.
Inilah halatuju untuk Bentong.
This is the Bentong direction!