Saya berkesempatan ke Kampung Orang Asli Sungai Dua Olak minggu lalu untuk meninjau kemajuan projek APPGM-SDG di sana.
Saya mengambil peluang meneroka kampung untuk mendapat lebih banyak gambaran mengenai potensi pembangunan lestari di kampung ini.
Tuhan sememangnya mengurniakan Orang Asli dengan pelbagai khazanah istimewa. Kawasan semula jadi kampung ini cukup indah. Saya benar-benar terpesona dengannya.
Seorang pengusaha sektor pelancongan Orang Asli tempatan Yusri Ahang, menemani saya dan memaklumkan bahawa aktiviti pembalakan besar-besaran pernah berlaku di kawasan belakang kampung ini pada 2013.
Mereka yang membutakan mata dengan membiarkan aktiviti pemusnahan di kawasan yang indah ini sememangnya tidak bertanggungjawab.
Saya berharap semua pihak berkuasa memastikan bahawa aktiviti seperti itu tidak berulang, bukan sahaja di kampung ini tetapi di semua penempatan orang asli yang terancam di seluruh negara.
Mereka yang dipertanggungjawabkan dengan kedudukan dan jawatan harus memahami bahawa adalah tugas mereka adalah menjaga kepentingan segenap rakyat.
Saya juga menjelaskan kepada Yusri bahawa ini adalah tugas beliau dan penduduk kampunya untuk terus melindungi apa yang mereka miliki. Mereka mereka mesti memastikan bahawa semua pembangunan yang dilakukan di kampung mereka mesti dijalankan secara mesra alam dan lestari, jika tidak, apa yang dapat mereka jawab kepada anak-anak mereka kelak jika tiada lagi khazanah yang ditinggalkan.
Tanpa tanah dan hutan, maka berakhirlah budaya dan cara hidup tradisi Orang Asli.
Saya juga mencadangkan kepada Yusri untuk mengumpulkan pemimpin muda dan menubuhkan jawatankuasa tindakan kampung. Jawatankuasa ini kemudiannya harus bekerjasama dengan pejabat saya dan sekumpulan pakar dalam bidang berkaitan untuk menyusun satu garis panduan bagi memastikan semua aktiviti pembangunan masa depan di kampung ini dilaksanakan dengan cara lestari.
#bentong