Bermula Sabtu lalu, 10 Julai, team sukarelawan Parlimen Bentong mengagihkan paket Mi Sedaap yang disumbangkan oleh JC Team yang sering kali membantu kami di Bentong.
Saya ingin berkongsi kisah bagaimana Mi Sedaap berkenaan sampai ke tangan anda.
Pada lewat petang Khamis, 8 Julai, JC Team bertanya kepada saya sama ada saya mahu menerima 1000 kotak (40,000 paket) Mi Sedaap yang tarikh luputnya akan tamat dalam masa satu atau dua minggu (16 Julai dan 29 Julai). Sumbangan tersebut perlu diambil dalam masa dua hari, iaitu Sabtu. Saya terus bersetuju. Setidak-tidaknya, saya tahu makanan itu boleh membantu mengisi perut mereka yang memerlukan di Bentong.
Bukan mudah untuk mengatur pergerakan membawa 1000 kotak Mi Sedaap dari Kuala Lumpur dalam masa singkat.
Sukarelawan kami lantas bertindak. Ada yang menawarkan kegunaan lori dan trak milik mereka secara percuma. Permit pergerakan daripada pihak polis diperoleh keesokan harinya.
Ada antara sukarelawan kami adalah petani. Mereka terpaksa bangun seawal jam 4 pagi pada Sabtu tersebut untuk menjalankan kerja-kerja pertanian sebelum memulakan perjalanan ke Kuala Lumpur.
Apabila mereka tiba di Kuala Lumpur, mereka terpaksa bekerja di bawah mentari yang panas untuk menyusun atur kotak Mi Sedaap ke dalam kenderaan masing-masing. Kerana jumlahnya begitu banyak, kami terpaksa menggerakkan sekumpulan sukarelawan dari Kuala Lumpur pula untuk membantu kerja-kerja pemunggahan.
Mereka tiba kembali di Bentong dalam jam 2.30 petang. Masih belum makan tengahari lagi. Satu lagi pasukan lain menyambung kerja-kerja mengeluarkan kotak dari lori.
Kemudian, sepasukan sukarelawan yang menaiki motosikal, 4×4 dan kereta pula berkejar untuk melakukan kerja-kerja pengagihan. Pada lewat petang, mereka berjaya mengagihkannya kepada ribuan penduduk.
Saya sendiri menziarah lebih daripada 180 buah rumah pada petang sama di mana saya telah berjanji kepada keluarga yang perlu bantuan untuk menghantar set bakul makanan dalam beberapa hari lagi.
Sehingga semalam, kesemua 40,000 paket Mi Sedaap telah berjaya diagihkan.
Pasukan sukarelawan saya bekerja dengan hati yang ikhlas. Mereka amat komited untuk melakukan sedaya kemampuan mereka untuk meringankan beban orang kampung mereka sendiri yang terjejas akibat kegagalan kerajaan Perikatan Nasional menangani wabak Covid-19. Tiada apa yang mampu menghalang semangat mereka. Saya sering mengingatkan kepada mereka bahawa Tuhan tidak pernah tidur.
Marilah kita berganding bahu memikul tanggungjawab bersama bagi memastikan tiada siapa akan kelaparan.
Bersama kita membina #Bentong yang cakna.
Sekian.
Wong Tack
Ahli Parlimen Bentong
Source