Cubaan tutup mulut Mazlan Aliman dikecam


Kenyataan Media Pengerusi Pakatan Harapan Bentong, Wong Tack di Bentong pada 22.03.2018

Pakatan Harapan Bentong mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak polis yang menahan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman pada awal pagi hari ini.

Menurut isteri Mazlan, beliau telah ditahan di rumah pada pukul 01.35 pagi dan telah dibawa ke balai polis Kulai. Pihak polis telah memaklumkan isterinya bahawa Mazlan adalah ditahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Adalah dipercayai bahawa penahanan Mazlan adalah disebabkan laporan polis oleh peguam isteri Perdana Menteri mengenai ucapan saudara Mazlan yang melibatkan peranan isteri Perdana Menteri dalam beberapa projek yang dirancang serta dilaksanakan oleh FELDA.

Lumrahnya FELDA merupakan kubu UMNO BN dan sukar ditembusi oleh pembangkang mana-mana pun. Namun sejak penubuhan Pakatan Harapan yang merangkumi penyertaan BERSATU yang dipimpin Tun Dr Mahathir, pimpinan pembangkang bukan sahaja dibenarkan untuk memasuki kawasan FELDA, malah telah berjaya mewujudkan gelombang tsunami FELDA. Kehadiran melebihi ribu-ribuan orang di Felda Gunung Besout di Tanjung Malim pada minggu lepas jelas menunjukkan bahawa warga FELDA telah bangkit menolak rejim UMNO BN.

Adakah rejim UMNO BN yang diketuai oleh Najib Razak begitu gentar dengan sokongan warga FELDA terhadap Pakatan Harapan sehingga menyalahgunakan pihak polis untuk membisukan Pengerusi ANAK yang lantang bersuara demi semua warga FELDA?

Pimpinan Pakatan Harapan Bentong menyatakan solidariti terhadap saudara Mazlan Aliman yang ditahan tanpa sebarang sebab yang munasabah dan menyeru pihak polis untuk berhenti menzalimi pemimpin Pakatan Harapan serta membebaskan saudara Mazlan dengan serta-merta.

Cubaan tutup mulut Mazlan Aliman dikecam

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman ditahan polis sekitar jam 1.30 pagi tadi, dan dibawa ke Kulai untuk disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Source