KENYATAAN MEDIA…

KENYATAAN MEDIA
13 SEPTEMBER 2018

MARI MEMBUKA LEMBARAN BARU DALAM PENGURUSAN PENGGUNAAN TANAH

Kebelakangan ini, beberapa kenyataan berkenaan dengan dasar-dasar penggunaan tanah kerajaan baru dalam sektor perhutanan dan perladangan sawit telah muncul.

Pada Sept 4, Menteri Industri Utama (KIU) Teresa Kok telah mengesahkan semula komitmen pentadbiran Pakatan Harapan untuk menunaikan janji litupan hutan 50% atas mukabumi Malaysia kepada komuniti antarabangsa. Untuk melaksanakan komitmen tersebut, beliau menyatakan bahawa ini bermakna perkembangan perladangan kelapa sawit akan dihentikan.

Kenyataan tersebut telah mendapat reaksi serta-merta daripada kerajaan negeri Sarawak yang menolak cadangan tersebut atas sebab penanaman kelapa sawit adalah diperlukan untuk tujuan pembasmian kemiskinan. Selepas itu, seorang felo Akademi Sains Malaysia (ASM) juga menyokong keputusan Sarawak dan menggalakkan negeri-negeri lain menolak cadangan KIU.

Sementara itu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) Dr Xavier Jayakumar pula mengumumkan satu pelan penanaman hutan dengan sebuah badan bukan kerajaan bernama Pusat Konservasi dan Penyelidikan Hutan Tropika (Tropical Rainforest Conservation and Research Centre – TRCRC). Temubual beliau oleh suratkhabar The Star juga banyak kali menyebut perkataan penyahhutanan dalam menyokong cadangan TRCRC.

Justeru itu, saya ingin memberikan pandangan dan pemantauan saya terhadap perkembangan tersebut.

1. Sebagai permulaan, saya menyokong hasrat KIU untuk menunaikan janji 50% litupan hutan di mana saya juga membangkitkan hal tersebut ketika berucap julung kali di sidang parlimen yang berlangsung baru-baru ini. Dasar ini bukan setakat memenuhi janji kita kepada komuniti antarabangsa tetapi ia juga untuk menjaga kepentingan kita sendiri. Perlindungan hutan bukanlah sekadar untuk menyelamatkan harimau mengikut pandangan sinis Felo ASM bahawa perbezaan antara ladang sawit dan hutan cuma dalam ketidakwujudan harimau dalam ladang sawit. Kita sedia maklum bahawa hutan memberikan banyak perkhidmatan yang penting untuk kesejahteraan kita – perkitaran air dan pengawalan banjir, perkitaran gas-gas rumah kaca (greenhouse gases – GHGs) dan kestabilan cuaca setempat, sumber kayu dan pelbagai hasilan hutan dan juga tempat lindungan untuk komuniti Orang Asal.

2. Istilah ‘penyahhutanan’ telah kerap disalah fahamkan . Sekiranya kita mengatakan ‘penyahutanan’ berlaku dalam sistem pengurusan hutan cara mampan (Sustainable Forest Management – SFM) yang diamalkan sejak pertengahan 1990an, ini bererti kita mengakui bahawa terdapat kelemahan dalam sistem SFM sehingga berlaku penebangan hutan secara habis-habisan atau amalan pembalakan yang membinasakan hutan. Ekoran daripada itu, kita terpaksa menjalankan aktiviti penanaman semula. Kita harus segera memahami istilah-istilah perhutanan yang membawa makna spesifik untuk mengelakkan lagi banyak kesalahfahaman dan penyataan yang mengelirukan dan membawa kesan-kesan negatif ke atas industri kayu-kayan dan minyak sawit serta komitmen negara dalam mengurangkan aktiviti pemanasan bumi daripada sektor perhutanan.

3. Statistik litupan hutan yang diumumkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sebelum ini adalah 54.6%. Mengikut saiz keluasan ketiga-tiga daerah geografi, Semenanjung Malaysia tidak akan dapat capai sasaran 50% tersebut manakala Sabah dan Sarawak masih berada dalam keadaan yang selesa untuk mencapai sasaran masing-masing. Kadar perubahan penggunaan tanah yang tinggi di Semenanjung tidak dapat dielakkan kerana kadar pertumbuhan penduduk, perindustrian dan perbandaran yang jauh lebih tinggi daripada Sabah dan Sarawak. Oleh itu, kita memerlukan satu mekanisme ‘perkongsian beban’ untuk memastikan kita dapat memenuhi komitmen bersama tersebut.

4. Tidak dapat dinafikan minyak sawit adalah sejenis minyak sayur-sayuran yang banyak kegunaan dan memberikan hasil yang tinggi per hektar tetapi kita harus sedar bahawa Malaysia bukan lagi pengeluar nombor satu atau satu-satunya sebuah negara pengeluar. Terdapat juga negara-negara pengeluar lain dan ini telah menyumbang kepada keadaan pengeluaran berlebihan yang menyebabkan kejatuhan harga pasaran dunia. Ini telah merumitkan lagi ekspot minyak sawit negara yang ditekan oleh cabaran-cabaran kelestarian dari negara-negara pengimpot. Sebenarnya, kerajaan sebelum ini dalam Pelan Transformasi Ekonomi telahpun menghadkan pengembangan kawasan perladangan sawit kepada 6 juta hektar menjelang 2020. Perlu dinyatakan bahawa Timbalan Ketua Negeri Sarawak Dato Amar Douglas Uggah Embas adalah ahli Jemaah cabinet ketika pelan tersebut diluluskan dalam tahun 2009. Walau bagaimanapun, kita tidak harus berpolitik dalam hal ini tetapi kita harus berkerja-sama untuk mencari penyelesaian terhadap cabaran-cabaran ini.

5. Perjanjian penanaman semula hutan yang diaturkan antara Malaysia dan Norway oleh TRCRC adalah satu perkara yang agak pelik. TRCRC adalah sebuah badan bukan kerajaan yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi dan isterinya Toh Puan Jean Abdullah. Badan tersebut telah melobi kerajaan-kerajaan barat di beberapa persidangan Konvensyen Kerangka Perubahan Iklim Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Framework Convention on Climate Change – UNFCCC) dan mempromosikan dirinya sebagai sebuah entiti yang layak menjalankan aktiviti-aktiviti pengurangan perlepasan GHGs dalam sektor perhutanan. Saya difahamkan bahawa Malaysia telahpun menyiapkan dan menyerahkan pelan tindakan kebangsaan untuk mengurangkan pelepasan GHGs dari aktiviti penyahhutanan dan kemerosotan hutan di bawah mekanisme yang dipanggil REDD-plus (Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation )kepada pihak UNFCCC, sekaligus, mengumumkan bahawa Malaysia sudah bersedia untuk melaksanakan mekanisme tersebut dengan bantuan kewangan antarabangsa termasuklah bantuan dua-hala seperti dengan Norway. Saya hairan di manakah TRCRC bercadang menjalankan aktiviti penanaman semula hutan dan kepakaran serta pengalamannya memandangkan usia pertubuhannya yang masih singkat.

Sebagai kesimpulan, saya ingin mengutarakan beberapa cadangan untuk bergerak ke hadapan.

Memandangkan kerumitan berkenaan dengan perkara penggunaan tanah, saya ingin mencadangkan penubuhan sebuah majlis penasihat gabungan tiga kementerian – KIU, KATS dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim – yang menerajui agensi-agensi dan bahagian-bahagian kementerian yang berkenaan.
Majlis penasihat tersebut boleh mempercepatkan pemahaman cabaran-cabaran, menyeleraskan tindakan bersama and mengorak langkah baru dalam melindungi hutan, memastikan kelestarian industri kayu-kayan dan minyak sawit, mencapai tujuan pembasmian kemiskinan dan perkongsian kekayaan antara ketiga-tiga daerah geografi dan antara negeri-negeri di Semenanjung.
Oleh kerana tanah adalah tertakluk bawah pentadbiran negeri masing-masing, Majlis Tanah Negara perlu bertindak dan menunjukkan keinginan politik untuk menangani isu lama ini yang diwarisi dari pemerintahan lepas.

WONG TACK
Ahli Parlimen Bentong merangkap Pengerusi Lembaga Industri Kayu-kayan Malaysia


[vid_url]

Source