PENUTUPAN LOJI RAWATAN AIR DI BENTONG
Pejabat saya telah menghubungi pejabat Pengurusan Air Pahang (PAIP) setelah mendapat makluman berkenaan penutupan sementara loji rawatan air Bentong Fasa 2 kerana berlakunya pemendapan yang serius. Walau bagaimanapun, PAIP tidak dapat menjelaskan punca masalah berkenaan. Penyiasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar. Namun, mereka berjanji jika masalah itu tidak berjaya diselesaikan dalam masa 24 jam yang akan menyebabkan gangguan bekalan air, mereka akan menghantar trak untuk mengagihkan air kepada penduduk sekitar.
Saya kemudian bergegas ke Sungai Perting untuk menyiasat perkara itu secara peribadi.
Saya perhatikan bahawa keadaan air sungai berubah menjadi warna teh gelap dengan aliran air yang deras. Fenomena ini berkemungkinan besar disebabkan oleh kejadian hujan lebat di kawasan tadahan air di hulu sungai. Walaupun begitu, saya menggesa semua pihak berwajib untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai perkara ini.
Bayangkan jika ada aktiviti pembersihan hutan di kawasan tadahan air kita, apa yang bakal terjadi pada sumber air minuman kita?
Kita semua harus menghargai hutan yang menjadi kawasan tadahan air ini. Kita mesti melindungi apa yang kita miliki dan membiarkan Sungai Perting terus mengalirkan air bersih untuk generasi mendatang.
Anak-anak kita berhak mendapat segelas air bersih.