Berikut adalah transkrip Perbahasan Belanjawan 2022 (Peringkat Dasar) saya di Parlimen pada 11 November yang lalu. Saya telah fokus pada isu hutan, CSR dari Bentong ke Simpang Pelangai, Lynas dan tanah adat Orang Asli.
—-///——
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
1. Semalam, semasa berucap di COP26, Yang Berhormat Kubang Kerian telah menyatakan bahawa Malaysia masih komited untuk kekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus ‘litupan hutan’ negara yang telah diumumkan di Rio pada tahun 1992.
2. Tapi saya rasa hairan, kenapa Dasar Perhutanan Malaysia baru yang dilancarkan pada bulan Mac yang lalu pula sebut 50 peratus ‘hutan dan litupan pokok’.
3. Ini jelas bukan janji yang kita buat di Rio. Di Rio, kita janji 50 peratus ‘litupan hutan’ bukan 50 peratus ‘hutan dan litupan pokok’. Hutan dan pokok tak sama. Memang dalam hutan ada pokok , tapi pokok bukan hutan. Ini kita kena faham.
4. Jadi saya ingin mohon pencerahan, kenapa yang diumumkan di COP26 tak sama dengan Dasar Perhutanan Negara? Adakah YB Kubang Kerian keliru atau cuba kelirukan masyarakat antarabangsa, kerana jelas tiang gol untuk komitmen negara yang dibuat di Rio 30 tahun yang lalu telah dialih secara senyap-senyap.
4. Saya harap kerajaan dapat beri penjelasan mengenai perkara ini kerana ‘this is serious dishonesty’ dan perkara seperti ini akan memalukan negara di peringkat antarabangsa.
Tuan Yang di-Pertua,
5. Pada bulan Disember yang lalu, kerajaan telah melaporkan kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai perubahan iklim (UNFCC) bahawa keluasan tanah negara yang dilitupi hutan adalah 55.3 peratus. Saya nak tanya, adakah angka 55.3 peratus ini termasuk ladang hutan? Jika ya, berapa peratus?
6. Ladang hutan adalah ladang tanaman ‘monoculture’ seperti akasia dan getah, malahan sawit dan durian musang king. Malah ia sering kali digunakan sebagai alasan oleh sesetengah tauke balak atau kerajaan negeri untuk memusnahkan hutan dan menghalalkan aktiviti pembalakan tebang habis.
7. Oleh itu, sekiranya angka 55.3 peratus ini mengambil kira ladang hutan, maka ini bermakna kerajaan cuba mengelirukan ataupun menipu masyarakat antarabangsa sebab jelas ladang hutan bukan hutan. Seperti yang saya selalu kata, patutnya nama ditukar kepada ‘ladang balak’.
8. Kedua, saya telah dimaklumkan oleh rakan-rakan NGO Alam sekitar bahawa terdapat satu kajian yang dibuat oleh National University of Singapore yang menunjukkan bukti gambar satelit bahawa litupan hutan semula jadi negara kita telah menurun bawah 50 peratus selepas tahun 2000. Menjelang 2010, keluasan hutan semula jadi di Malaysia hanya tinggal 45.4 peratus sahaja.
9. Adakah ini benar? Kalau benar, ini sememangnya sesuatu yang amat memalukan kerana ini membuktikan bahawa negara kita telah gagal memenuhi janji ‘50 peratus litupan hutan’ dan yang paling teruk kita cuba mengelirukan rakyat kita serta komuniti antarabangsa.
10. Jadi saya ingin mohon kerajaan untuk memberikan statistik terperinci mengenai jumlah keluasan, status serta keadaan hutan semulajadi di negara ini dan maklumat ini mesti dimuat naik ke public domain yang boleh diakses oleh orang awam dan NGO.
Tuan Yang di-Pertua,
11. Banyak wang yang diperuntukkan dalam bajet ini sepatutnya tidak perlu dibelanjakan jika pihak yang diberikan tanggungjawab oleh rakyat menjalankan tugas dengan ikhlas dan bersih.
12. Kita sering lihat banjir sini, banjir sana. Sampai Menteri Alam Sekitar jadi macam Menteri Banjir sekarang kerana soalan- soalan yang ditujukan kepada beliau dalam dewan ini banyak berkenaan banjir saja.
13. Jadi kenapa selalu banjir? Biasanya punca adalah pembalakan yang tidak terkawal, pembangunan yang tidak terancang, menguntungkan segelintir pihak sahaja dan paling teruk, sebab rasuah.
14. Tahun depan kita ada bajet guna RM 730 juta duit rakyat untuk pengurusan banjir, kos keseluruhan RM 9.7 bilion. Kita yang cipta masalah tapi duit rakyat pula yang digunakan untuk selesaikan masalah.
15. Kebimbangan saya ialah RM9.7 billion ini masih tidak dapat selesaikan masalah jika projek yang menyebabkan kemusnahan terus dibenarkan dan hutan terus ditebang tanpa dikawal.
16. Baru-baru ini saja, pada bulan April, Menteri Besar Perak dedah bahawa 3,000 hektar hutan simpan di Perak telah diteroka secara haram. Pada bulan September, Kedah pula kata 3,500 hektar hutan simpan mereka telah diceroboh. Yang peliknya tak ada yang nampak, tak ada yang tahu selama ini.
17. Ini bukan macam kes budak-budak curi gula di kedai dan masuk dalam poket tak ada orang yang tahu. Ini melibatkan beribu-ribu hektar hutan simpan yang lesap betul-betul di bawah batang hidung.
18. Kita lihat dalam bajet ada peruntukan menambah bilangan peronda hutan. Tapi masalah pokoknya bukan berapa ramai pegawai penguatkuasa yang kita ada tapi berapa ramai pegawai penguatkuasa ‘bersih’ yang kita ada.
Tuan Yang di-Pertua,
19. Saya rasa amat kecewa tiada peruntukan diberi untuk membina Pakej 6 Projek Central Spine Road (CSR) dari Bentong ke Simpang Pelangai. Rakyat Bentong khasnya di Pelangai sudah lama menunggu jalan ini.
20. Pelangai adalah bumi bertuah. Wakil rakyat mereka 20 tahun jadi Menteri Besar. 40 tahun Ahli-ahli parlimen mereka pegang jawatan menteri kerajaan persekutuan. Tapi jalan mereka masih jalan zaman Jepun.
21. Saya masih ingat lagi masa saya budak, orang kampung biasa gelar jalan ini ‘jalan sembilan selekoh, lapan belas lengkok’. Bengkang bengkok jalan ini sampai ramai yang pening. Banyak kemalangan telah berlaku di jalan ini berdekad lamanya. Saya sendiri dah pernah tengok dengan mata sendiri.
22. Selain soal keselamatan orang kampung, CSR dari Bentong ke Simpang Pelangai akan meningkatkan ekonomi dan pembangunan sosial di Bentong. Jalan ini akan jadi gerbang untuk mereka yang datang dari selatan untuk menikmati produk menarik di Bentong khususnya dari segi pertanian dan eko-pelancongan. Peluang kerja akan lebih besar dan anak muda boleh pulang ke kampung halaman, membina keluargadalam persekitaran yang kondusif serta dekat dengan orang tua mereka.
23. Oleh itu, saya amat berharap kerajaan boleh mempertimbangkan semula perkara ini dan memberi peruntukan untuk menyiapkan segmen CSR dari Bentong ke Simpang Pelangai.
Tuan Yang di-Pertua,
24. RM332.1 billion adalah bajet terbesar dalam sejarah negara kita. Tapi kita harus sedar, bajet yang besar bukan sebab kita kaya. Wang ini sebenarnya dipinjam dari anak cucu kita.Kita mesti pastikan duit ini digunakan secara berkesan serta tiada pembaziran untuk tujuan memulihkan ekonomi negara, melawan Covid serta mengurangkan derita rakyat dan bukannya untuk menyelamatkan kedudukan politik atau memperkayakan diri sendiri.
25. Dasar negara mesti beralih daripada ekonomi yang berlandaskan eksploitasi dan pemusnahan sumber asli kepada ekonomi hijau dan mampan. Keuntungan jangka pendek biasanya hanya akan memanfaatkan beberapa kroni yang sudah kaya raya tapi rakyat lah yang menanggung kos kesihatan, kewangan, alam sekitar dan sosial jangka panjang. Lynas adalah salah satu contoh terbaik. Soalan saya, apakah keuntungan yang telah Lynas bawa ke negara kita sejak 10 tahun lepas?
26. Minggu lepas, YB Pekan bukan main patriotik, sampai tepuk meja apabila berhujah tentang isu Pulau Batu Puteh. Ini isu kedaulatan negara yang tidak boleh dikompromi, kata beliau. Saya sokong semangat seperti ini.
27. Semangat macam inilah kita kena teruskan untuk lawan isu Lynas. Kalau Pulau Batu Puteh yang luasnya kira-kira 2 ekar kita sudah lawan sebegini, maka kita patut lawan juga tanah puluhan ekar yang diberi kepada Lynas, iaitu syarikat orang asing, untuk dijadikan tong sampah sisa radioaktif mereka.
28. Ini bukan kali pertama kita korbankan tanah kita kepada syarikat asing untuk dijadikan tong sampah. 30 tahun lalu kita sudah hilang 100 hektar hutan simpan berhampiran Bukit Merah untuk dijadikan tong sampah sisa radioaktif syarikat Asian Rare Earth milik Mitsubishi Jepun.
29. Negara kita bukan sahaja kehilangan ratusan ekar tanah untuk selama-lamanya kepada kedua-dua syarikat asing ini tetapi anak-anak kita akan terdedah kepada risiko kesihatan dan kewangan untuk generasi mendatang untuk selama-lamanya.
30. Adakah ini yang disebut oleh pemimpin kita cintakan negara, sayangkan anak cucu?
~Atea Hea, Ahom Hea~
Tanah Kami, Nyawa Kami.
31. Inilah yang sering dilaungkan oleh rakan-rakan Orang Asli kita. Tapi sehingga hari ini tiada yang dengar. Tanah adat mereka dirampas, hutan mereka terus dimusnahkan, Orang Asli kita terus dibuli sampai digari, masuk lokap apabila mereka cuba mempertahankan hak tanah mereka.
32. Bilangan Orang Asli di negara kita cuma 200,000 orang. Kenapa bilangan yang kecil ini pun kita tidak mampu jaga?
33. Saya mohon kepada kerajaan, tolong adakan kajian yang terperinci soal tanah adat supaya sempadan dapat ditetapkan agar komuniti Orang Asli kita boleh hidup aman tanpa risau tanah mereka akan dirampas.
34. Jangan musnahkan alam semula jadi mereka. Penebangan hutan untuk pertanian kelapa sawit dan getah takkan meningkatkan taraf hidup mereka, apatah lagi nak pelihara budaya dan tradisi kehidupan mereka.
Sekian, terima kasih.
Source